mutakhir

'Dosa di hujung jari..'

Oleh Idris Musa

MIMBAR Jumaat di Wilayah Persekutuan, hari ini, mengingatkan masyarakat Islam supaya berwaspada dengan maklumat diterima dan tidak menyebarkan perkara diragui kesahihannya.

Menurut teks khutbah dibacakan khatib, mereka perlu memahami konsep ‘tabayyun’ dan mengamalkan budaya ‘semak sebelum sebar’.

“Berhati-hati dalam menyampaikan maklumat dengan hanya menyebarkan perkara benar yang membawa ke arah kebaikan dan membuat teguran terhadap kesalahan dengan cara berhikmah dan harmoni,” demikian menurut teks khutbah berkenaan.

Teks khutbah bertajuk Dosa di Hujung Jari disediakan Cawangan Khutbah dan Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Menurut khutbah itu, realitinya di dunia maya ada pelbagai laman web berunsur politik dan fahaman agama sempit hingga mewujudkan golongan berbeza pendapat yang saling bertelagah dan melakukan provokasi.

Katanya, kewujudan laman web pornografi turut merosakkan pemikiran masyarakat terutama generasi muda dan menjadi antara punca pergaulan bebas, zina, sumbang mahram dan jenayah seksual.

“Unsur kemungkaran dan budaya negatif menular dalam masyarakat kita melalui penyalahgunaan media sosial sehingga menjadi gejala membimbangkan jika tidak dibendung.

“Justeru, manfaatkan media sosial sebagai ruang berkesan untuk digunakan bagi mengajar, belajar dan menyeru manusia ke jalan Allah SWT.

“Dengan ini, terbentuklah budaya masyarakat Islam saling ingat mengingati dalam membuat amal kebaikan dan menjauhi kemungkaran,” katanya.

Disiarkan pada: July 26, 2019 @ 4:39pm
d