mutakhir

Dijemput ajal dalam bot

Oleh Rosli Ilham

KERISAUAN seorang anak yang gagal menghubungi ayahnya terjawab selepas lelaki itu ditemui meninggal dunia di dalam bot gentian kaca di kawasan Sungai Pengkalan Barang, Kuala Kemaman, Chukai, malam tadi.

Mayat Ramli Muda, 60, dari Kampung Mak Lagam ditemui pasukan penyelamat di dalam botnya di tepi sungai berkenaan pada 11.10 malam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, mangsa dikatakan keluar menahan bubu untuk menangkap ketam.

Beliau berkata, mangsa sebelum itu dihantar anaknya di Kampung Geliga Pak Akob untuk turun ke sungai menangkap ketam pada 12 tengah hari.

“Bagaimanapun, mangsa sehingga 10 malam, mangsa tidak pulang ke rumah selain tidak menjawab panggilan telefon menyebabkan anak perempuan mangsa datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman untuk membuat laporan.

“Pasukan Rescue Team IPD Kemaman bersama anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kemaman dan nelayan melancarkan gerakan mencari dan menyelamat mangsa.

“Operasi pencarian dilakukan di sekitar kawasan Sungai Pengkalan Barang, Kuala Kemaman sebelum mayat mangsa ditemui di dalam botnya di tepi sungai berkenaan bersama beberapa bubu ketam,” katanya.

Mohd Haki berkata, siasatan mendapati mangsa sebelum ini menghidap penyakit jantung dan sering mendapat rawatan di Hospital Kemaman.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian.

Disiarkan pada: July 26, 2019 @ 4:45pm
d