mutakhir

DJ Rere ditahan bersama pengunjung kelab malam

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menahan deejay wanita terkenal Indonesia, Deejay (DJ) ReRe bersama 58 warga asing dalam serbuan di kelab malam di ibu negara, 10 malam tadi.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, DJ ReRe ditahan selepas ingkar arahan dikeluarkan pegawai imigresen supaya tidak membuat persembahan di pusat hiburan berkenaan.

Katanya, deejay wanita itu ditahan berikutan tidak memiliki pas ikhtisas sebagai penghibur di negara ini dan memasuki negara menggunakan permit lawatan sosial.

“Berdasarkan maklumat disalurkan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL), penganjur pusat hiburan itu tidak pernah mengemukakan permohonan bagi membolehkan DJ ReRe membuat persembahan.

“Susulan itu, JIM kemudian mengeluarkan arahan kepada penganjur agar deejay terbabit tidak membuat persembahan, namun tidak dipatuhi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, JIM turut menahan 58 warga asing membabitkan 39 lelaki dan 19 wanita warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen.

Katanya, mereka yang ditahan itu membabitkan 36 lelaki Indonesia serta 3 lelaki Bangladesh dan 19 wanita Indonesia.

“Operasi itu membabitkan 53 pegawai dari Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dan seramai 135 warga tempatan turut diperiksa.

“Suasana meriah di pusat hiburan itu bertukar kecoh apabila pengunjung menyedari kehadiran pasukan imigresen dan kebanyakan warga asing cuba lari menyembunyikan diri,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata, semua tahanan termasuk DJ ReRe kini ditahan di Depoh Tahanan Imigresen Putrajaya selain Depoh Tahanan Bukit Jalil untuk siasatan terperinci serta tindakan lanjut.

Disiarkan pada: July 26, 2019 @ 5:28pm
d