mutakhir

Maut kemalangan selepas tunai solat Jumaat

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

DUA rakan sekerja maut selepas motosikal dinaiki terbabit kemalangan dengan trak tentera di Jalan Utama Taman Tuanku Jaafar, berhampiran simpang Kem Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Senawang hari ini.

Pekerja kilang Nur Firdaus Zolkepli, 28, dan Mohd Nizar Azis, 42, dikatakan dalam perjalanan pulang ke tempat kerja selepas menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran.

Mereka meninggal dunia di lokasi akibat parah kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, dalam kejadian 2.10 petang itu, mangsa menunggang motosikal Honda EX5 dalam perjalanan dari arah Taman Tuanku Jaafar ke Senawang.

“Motosikal ditunggang Nur Firdaus bersama pembonceng dipercayai membelok masuk ke simpang kanan secara tiba-tiba menyebabkan trak tentera yang dalam perjalanan dari kem Senawang tidak sempat mengelak lalu terlanggar motosikal mangsa.

“Rempuhan itu menyebabkan penunggang dan pembonceng tercampak ke jalan dan parah di kepala serta badan. “Kedua-duanya disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Said berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: July 26, 2019 @ 6:52pm
d