mutakhir

Pencetus semangat perubahan positif

Oleh HM Digital

SERAMAI 3,500 pelari dijangka membanjiri Stadium Arena Universiti Malaya 27 Julai ini bagi menyertai TNB Energy Night Run yang julung kali diadakan syarikat utiliti itu.

Penganjuran acara itu diadakan sempena ulang tahun ke-70 syarikat itu pada 1 September ini sekali gus bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap pemuliharaan tenaga, pemeliharaan alam sekitar serta kehidupan di bumi.

Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman berkata, pihaknya teruja dengan sambutan kali pertama yang

dianjurkan itu.

“Semangat ‘spark of energy’ ini tanda positif mengenai kesedaran alam sekitar yang semakin meningkat dalam kalangan peserta yang mengutamakan kesihatan serta kecergasan,” katanya.

Dalam program itu peserta akan memakai kemeja-T dan armband reflektif serta cermin mata LED ketika berlari untuk dua kategori iaitu 5 kilometer (km) dan 10 km.

“Jarak larian yang lebih pendek adalah lebih santai dan disasarkan kepada peserta kalangan keluarga manakala laluan 10 km yang lebih mencabar untuk pelari berpengalaman.

“Melalui TNB Energy Night Run ini, kami ingin menunjukkan bagaimana masyarakat boleh mengambil langkah kecil seperti meluangkan masa di luar bersama keluarga dan tidak tertumpu kepada gajet saja. Inilah perubahan positif yang ingin kami pupuk kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Bersama-sama dengan Malaysiakini, Bonrica Spritzer, Nestle Milo, HETCH, Persatuan Food Truck dan semua peserta, TNB Energy Night Run bakal mencetuskan dan menyebarkan kesedaran mengenai kehidupan yang lebih lestari.

Disiarkan pada: July 26, 2019 @ 8:04pm
d