mutakhir

Tiga cedera kemalangan dua bas ekspres

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

TIGA individu cedera dalam kemalangan membabitkan dua bas ekspres di Kilometer 31.5 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak pada 5.45 petang tadi.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur, Leftenan (PA) Shahrul Kamar Mohd Johari berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah bas ekspres dari Jerantut dalam perjalanan ke arah Gombak melanggar belakang sebuah bas ekspres yang dalam perjalanan dari Genting Highlands menuju arah sama.

Katanya, kemalangan menyebabkan pemandu serta dua lagi penumpang bas ekspres mengalami kecederaan.

“Difahamkan, kemalangan berlaku apabila bas ekspres dari Jerantut itu melanggar bahagian belakang sebelah kiri bas ekspres dari Genting Highlands yang berada di depannya.

“Kemalangan itu menyebabkan pemandu bas serta dua penumpang cedera dan mereka dihantar pasukan paramedik APM Kuala Lumpur dan Sentul ke Hospital Selayang (HS) untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, bas ekspres dari Jerantut berkenaan membawa 25 penumpang manakala bas ekspres dari Genting Highlands membawa 37 penumpang.

Katanya, individu yang cedera membabitkan pemandu serta seorang penumpang bas ekspres dari Jerantut manakala seorang lagi adalah penumpang bas ekspres dari Genting Highlands.

Disiarkan pada: July 26, 2019 @ 10:11pm
d