mutakhir

Tumpahan diesel punca pencemaran

KUALA LUMPUR: Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) memaklumkan pencemaran yang berlaku di kawasan Sungai Selangor berhampiran Kolam Hang Tuah pada 6.15 petang, 21 Julai lalu, dikesan berpunca daripada tumpahan minyak diesel.

Pengurus Kanan Perhubungan Awam dan Unit Hal Ehwal Korporatnya, Abd Wahab Nordin dalam satu kenyataan berkata, pasukan ERT KSSB yang dikerah ke tapak kejadian, 7 malam pada hari yang sama, mengenal pasti punca tumpahan dan berjaya mengawal keadaan pada 3.30 pagi, 22 Julai.

Katanya, laporan polis dibuat pada 22 Julai kerana insiden itu berkemungkinan berunsurkan sabotaj serta khianat dan menyerahkan kes itu kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk sisatan sepenuhnya.

“Operasi cucigali sungai di bawah permit KKSB menggunakan kaedah pontoon bermula sejak 2009 dan pontoon yang terbabit dalam insiden ini sudah beroperasi sejak 2013 tanpa sebarang masalah.

“Namun, ia akan dibawa keluar selepas mendapat kebenaran rasmi daripada PDRM memandangkan kes masih dalam siasatan,” katanya.

KSSB turut menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan ‘intake’ muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang bermula dari 2016, manakala penyelenggaraan LRA SSP1,2,3 bermula dari 2015.

Kerja-kerja penyelengaraan muka sauk ini menggunapakai kaedah pontoon, excavator ‘long arm’ dan excavator amfibia.

Justeru, kata Abd Wahab, kejadian itu amat dikesali dan menegaskan bahawa perlindungan alam sekitar, sungai dan sumber air adalah keutamaan KSSB.

“Kami ingin memberi jaminan kepada masyarakat bahawa keadaan kini terkawal dan akan terus memantau situasi serta memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa termasuk PDRM,” katanya.

Disiarkan pada: July 27, 2019 @ 7:22am
d