mutakhir

400 PATI disasar sertai B4G

Oleh BERNAMA

JABATAN Imigresen menyasarkan antara 300 hingga 400 pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagai permulaan program Pulang Ke Negara Asal (Back For Good - B4G) bagi membendung kesesakan di depot tahanan Imigresen seluruh negara.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, ketika ini pihaknya mempunyai 14 depot di seluruh negara, yang mampu menampung 10,500 PATI.

Bagaimanapun, beliau berkata, bilangan PATI yang ditempatkan di depot itu kadang-kala mencecah sehingga 11,000 orang dan keadaan itu boleh mendatangkan bahaya kepada mereka.

“Antara bahaya yang dihadapi ialah tersebar penyakit berjangkit seperti tibi yang dibawa oleh mereka dari negara mereka,” katanya kepada Bernama.

Khairul Dzaimee berkata, tawaran B4G hanya dibuka kepada PATI yang berada di luar dan tidak ditawarkan kepada mereka yang berada di dalam depot tahanan.

“Ini kerana PATI yang berada di dalam depot tahanan sudah menjalani hukuman dan akan dihantar pulang ke negara masing-masing,” katanya.

Pada 18 Julai, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan program B4G bermula 1 Ogos hingga 31 Disember bertujuan mengurangkan PATI di negara ini.

Pendatang tanpa izin berkenaan hanya perlu mendapatkan dokumen pengenalan diri yang lengkap daripada kedutaan besar dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi masing-masing dan menyerahkan kepada pejabat Imigresen untuk diproses.

Selain itu, mereka perlu menyediakan bayaran kompaun sebanyak RM700 serta menunjukkan tiket penerbangan ke negara asal bagi tujuan itu.

Disiarkan pada: July 27, 2019 @ 11:11am
d