mutakhir

Penyamun bertopeng larikan rokok [METROTV]

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

POLIS memburu dua suspek bertopeng dan bersenjatakan parang yang menyamun sebuah kedai serbaneka 24 jam di Persiaran Komersil Sungai Siput, kelmarin.

Video berdurasi satu minit 15 saat memaparkan tindakan dua penyamun bertopeng dan bersenjatakan parang menyamun kedai berkenaan tular di media sosial sejak semalam.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, pekerja kedai serbaneka cemas disamun dua lelaki itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu jam 7.40 pagi.

Katanya, siasatan mendapati dua lelaki bertopeng bersenjatakan parang memasuki kedai berkenaan yang ketika itu dijaga seorang wanita sebelum melarikan rokok dianggarkan bernilai RM2,000.

“Dua suspek berkenaan dipercayai melarikan diri menggunakan motosikal.

“Pekerja tidak mengalami kecederaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti kedua-dua suspek berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Khaizam berkata, kedai serbaneka berkenaan dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: July 27, 2019 @ 11:43am
d