mutakhir

Durian tak 'lepas', petai pun jadi

Oleh BERNAMA

DUA dolar lima papan! Dua dolar lima papan! Terdengar jeritan itu sebaik tiba di pintu masuk Dewan (Hall) 6, Bangunan Expo, Singapura di mana Malaysia Fest 2019 sedang berlangsung.

Bagi edisi tahun ini, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membawa masuk 10 ribu papan petai di bawah program Jualan Terus Dari Ladang.

Bernama difahamkan berikutan sambutan menggalakkan daripada penduduk Singapura, ‘penghantaran’ pertama sebanyak empat ribu papan terpaksa ditambah.

Petai terbabit dibawa khas dari Perak, yang sememangnya terkenal dengan komoditi itu.

Sementara itu terdapat pengunjung yang kedengaran bertanya tentang raja buah di gerai petai.

“Durian dah habis ke? Boleh bawa masuk lagi esok tak?”

Perasaan hampa jelas kelihatan apabila mereka mendapat tahu durian tidak mendapat ‘pelepasan’ pihak penguasa Singapura, untuk menjadi salah satu komoditi untuk dijual di Malaysia Fest.

Pihak FAMA berusaha hampir setiap tahun untuk membawa buah kegemaran rakyat republik itu, setiap kali acara besar tahunan berlangsung.

Pada edisi tahun lalu FAMA ‘berjanji’ untuk membawa masuk durian hybrid Musang King dan juga durian kampung Bukit Gantang, tetapi tidak mendapat pelepasan.

Difahamkan percubaan tahun ini juga gagal atas faktor sama iaitu ‘bau’ nya yang agak ‘kuat’.

FAMA menyasarkan 90,000 pelawat mengunjungi festival empat hari itu yang sedang berlangsung sejak 25 hingga 28 Julai ini.

Gerai petai antara 233 gerai berasaskan produk kesihatan industri AgroMas dan pertanian, serta produk baharu yang lain ditampilkan untuk memacu jualan.

Gerai di festival itu akan terbahagi kepada tujuh kluster - kecantikan dan fesyen, makanan popular, jenama selebriti, makanan dan buah-buahan, trak makanan, pelancongan dan perkhidmatan dengan penyertaan daripada pelbagai negeri, kementerian dan agensi.

Disiarkan pada: July 27, 2019 @ 12:03pm
d