mutakhir

40 tahun, 144 kali derma darah

Oleh Mohd Roji Kawi

DEMI menyelamatkan sahabat baiknya yang kehilangan banyak darah akibat kemalangan, 40 tahun lalu, mendorong Ismail Brahim untuk menderma darah.

Malah Ismail yang berumur 61 tahun berkata, sejak kejadian pada 1979 itu dia menjadi penderma darah yang tetap hingga ke hari ini.

Kini, bekas kakitangan syarikat swasta itu sudah menderma sebanyak 144 kali dengan purata tiga kali setahun.

“Kali pertama saya menderma darah pada usia 21 tahun kerana terpanggil untuk menyelamatkan nyawa kawan saya iaitu Saini Bujang yang kemalangan pada 1979.

“Syukur Alhamdulillah, selepas menjalani pembedahan dan menerima darah yang saya derma, rakan saya sihat sehingga sekarang,” katanya.

Ismail menerima penghargaan sebagai antara penderma darah terbanyak sempena Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Sarawak 2019 di Pustaka Negeri di Kuching, hari ini.

Penghargaan itu disampaikan Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Kamarudin Lajim.

Menurut Ismail, keprihatinannya menderma darah turut mendapat penghargaan pelbagai pihak sebelum ini termasuk dianugerahkan pingat Bentara Bintang Sarawak (BBS).

Bagaimanapun dia bukan mengejar penghargaan sebaliknya, menjadikan aktiviti itu sebagai amalan untuk menjaga kesihatannya.

“Saya menderma darah demi menyelamatkan nyawa orang lain dan pada masa yang sama, amalan ini juga baik untuk kesihatan kita,” katanya.

Disiarkan pada: July 27, 2019 @ 1:03pm
d