mutakhir

Penawar buat duyufurrahman

Oleh Yusri Abdul Malek

LAYANAN mesra, sentiasa memberi senyuman dan ikhlas menyantuni duyufurrahman adalah ‘penawar' kepada jemaah haji.

Itu diterapkan kepada petugas di Pusat Rawatan Tabung Haji Syisya, Pusat Rawatan Al Jaffery Madinah, Pusat Rawatan Hotel Abraj Al-Janadriyah dan 16 klinik maktab ketika melayani jemaah haji selain pemberian ubat-ubatan dan rawatan terkini.

Jemaah, Shakari Mohamed, 58, dari Kelantan berkata, layanan dan rawatan diberikan petugas adalah paling baik.

Katanya, dia mengalami asma sejak di Madinah sebaik tiba pada 16 Julai lalu dan dirawat di pusat rawatan di Madinah.

"Kini saya semakin sihat dan berharap boleh berwukuf bersama jemaah yang lain.

"Saya berterima kasih kepada Tabung Haji (TH) kerana menjaga dan merawat saya dengan baik," katanya ketika ditemui dalam lawatan media meninjau kemudahan kesihatan TH di Pusat Rawatan Syisya di Makkah.

Sejak pusat berkenaan memulakan operasi pada 4 Julai lalu, seramai 139 jemaah sudah dimasukkan ke wad untuk mendapatkan rawatan.

Kebanyakan jemaah mengalami masalah pernafasan yang ada kaitan dengan paru-paru, selebihnya masalah jantung, kulit dan terjatuh hingga menyebabkan kepatahan tulang.

Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan) 1440 Hijrah, Dr Mohammad Faid Abd Rashid berkata, sejak memulakan operasi, seramai 7,816 jemaah datang mendapatkan rawatan di Makkah dan Madinah.

Beliau berkata, untuk operasi haji tahun ini, seramai 264 petugas haji bertugas termasuk 26 pakar, 34 pegawai perubatan, seorang pegawai pergigian manakala selebihnya adalah jururawat, farmasi, juru x-ray, makmal dan fisioterapi.

Katanya, di Pusat Rawatan Syisya terdapat 197 katil dan satu bilik pengasingan jika ada kes penyakit berjangkit, di Pusat Rawatan Hotel Abraj pula ada 34 katil manakala di Pusat Rawatan Al Jaffery ada 37 katil.

“Jumlah keseluruhan adalah sebanyak 268 katil," katanya.

Menurutnya, semua kes boleh dirujuk ke pusat rawatan berkenaan kerana pihaknya memiliki kepakaran pelbagai bidang dan ubat-ubatan mencukupi kecuali kes pernafasan kronik dan pembedahan jantung.

"Jika ada kes kronik, akan dirujuk ke hospital kerajaan Arab Saudi dan kos rawatan adalah percuma," katanya.

Dr Faid berkata, kos perubatan rawatan kesihatan di semua pusat dan klinik TH adalah ditanggung sepenuhnya TH dan tidak termasuk dalam kos haji yang dibayar jemaah.

Kos ini juga ditanggung Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui pemberian geran RM5 juta.

Selain itu, pihaknya juga melalui pemeriksaan berkala dari bilik ke bilik penginapan jemaah sedang mengenal pasti jemaah yang berisiko kesihatan dalam usaha membantu mereka berwukuf.

"Mereka yang berisiko kesihatan dan tidak mampu bergerak akan dibawa ke Arafah menggunakan ambulans atau bas khas. Kami akan pastikan jemaah ini boleh berwukuf sebelum membawa mereka balik semula ke pusat rawatan untuk meneruskan proses pemulihan," katanya.

Berikutan cuaca panas yang hingga kini mencecah hampir 50 celsius, beliau menasihatkan jemaah meminum air yang banyak, mengambil ubat mengikut jadual ditetapkan dan sentiasa menjaga kebersihan diri.

Lagi berita berkaitan Wasilah Haramain

Disiarkan pada: July 27, 2019 @ 1:20pm
d