mutakhir

Bukan sebab dibelit, dipatuk ular lah...

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

PEMANDU di kolej vokasional di Batu Pahat disahkan meninggal dunia akibat sakit jantung, bukan dipatuk ular sawa seperti didakwa selepas gambar tangannya dibelit reptilia itu tular di media sosial.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat Superintendan Muhammad Izzudin Runggai berkata, keputusan bedah siasat ke atas mangsa dikenali Zainal Abidin Daim, 59, mengesahkan punca kematian itu.

“Proses bedah siasat dijalankan pada 9 pagi hari ini dan mengesahkan punca kematian disebabkan sakit jantung dan bukan akibat belitan atau patukan ular.

“Siasatan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam semalam, Zainal Abidin ditemui lemah di kawasan kolej itu dengan tangan kirinya masih dibelit ular.

Muhammad Izzudin berkata, pihaknya menerima laporan dibuat anak mangsa yang memaklumkan bapanya meninggal dunia di Wad Kecemasan, Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat.

“Menurutnya, dia mendapat tahu bapanya dibelit ular yang cuba dikeluarkan dari dalam kereta di kawasan kolej dan mengalami sesak nafas.

“Namun, dia juga memberitahu bapanya ada masalah kesihatan iaitu mudah sesak nafas tetapi tidak pernah membuat rawatan di hospital, malah pengadu tidak pasti punca sebenar kematian bapanya,” katanya.

Katanya, untuk itu siasatan awal dibuat dan keterangan saksi juga tidak jelas mengenai apa yang berlaku ke atas mangsa.

“Saksi cuma menyatakan ular membelit tangan kiri mangsa dan dia cuba membantu mangsa yang dalam keadaan lemah ketika ditemui sebelum menghantar mangsa ke hospital,” katanya.

Berikutan itu, beliau berkata, bedah siasat ke atas mangsa dilakukan untuk pengesahan punca kematian.

Disiarkan pada: July 27, 2019 @ 2:13pm
d