mutakhir

Kerana sakit hati dengan ayah...

Oleh Adnan Ibrahim

POLIS menahan seorang lelaki berusia 24 tahun selepas mengaku membakar rumah bapanya menggunakan petrol akibat tidak berpuas hati dengan lelaki berkenaan di Lorong 2, Jalan Dahlia, Kampung Melayu, Kluang, hari ini.

Disebabkan tindakan lelaki dikatakan mempunyai masalah mental itu, 29 orang dari sembilan keluarga hilang tempat berteduh apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran membabitkan sembilan rumah itu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian itu pada 6.25 pagi daripada seorang lelaki yang memaklumkan mengenai kebakaran rumah.

Menurutnya, berikutan itu sepasukan polis dikejarkan ke tempat kejadian dan menahan lelaki berkenaan selepas dipercayai menyebabkan kebakaran.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu negatif dadah.

“Kejadian dipercayai berpunca apabila suspek tidak berpuas hati dengan bapanya sebelum menggunakan petrol untuk membakar hadapan rumah, bagaimanapun api merebak ke rumah sebelah yang dibina menggunakan separuh kayu dan konkrit.

“Turut musnah dalam kejadian itu, sebuah lori, tiga motosikal, pelbagai barang-barang elektrik milik mangsa, dokumen penting serta barang kemas yang masih belum dapat dipastikan nilainya,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Mohd Abduh berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan dan mengambil sampel bahan terbakar untuk dianalisis bagi mengenal pasti punca kejadian.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan (KK) dan polis akan memohon reman ke atas suspek pagi esok.

Disiarkan pada: July 27, 2019 @ 4:45pm
d