mutakhir

Kaki melecur, sesak nafas rumah terbakar

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

WANITA melecur di kedua-dua kaki dan sesak nafas selepas rumahnya musnah dalam kebakaran di Kampung Manal 1, Tanah Merah, hari ini.

Kebakaran pada 4 pagi itu membabitkan dua rumah termasuk kediaman mangsa, Rosliza Hamat, 48, yang kemudian menerima rawatan di Hospital Tanah Merah sejurus kejadian sebelum dibenarkan pulang.

Anak mangsa, Nurul Shahiran Rosman, 25, berkata, sebelum kejadian ibunya sedang memasak nasi dan lauk-pauk untuk dijual di kedainya untuk sarapan.

Katanya, ketika ibunya sedang memasak, wayar tercabut daripada tong gas sebelum mengeluarkan api.

“Ibu cuba mengangkat tong gas itu untuk mengelakkan ia meletup, namun ia mengeluarkan api besar sebelum merebak ke rumah dan api terkena di kedua-dua kaki ibu.

“Pada masa sama, ibu meminta supaya ayah dan dua adik berusia 10 dan 11 tahun yang sedang tidur supaya keluar menyelamatkan diri memandangkan api semakin besar. Mujur ibu, ayah dan dua adik sempat menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nurul Shahiran berkata, dalam masa 10 minit rumah mereka musnah dan api turut merebak ke rumah jiran.

Katanya, dia bersyukur kerana keluarganya selamat dan buat sementara mereka akan menumpang bermalam di rumah saudara yang tinggal di kampung sama.

“Ketika kejadian saya berada di Kuala Lumpur kerana bekerja sebelum menerima panggilan daripada keluarga yang memaklumkan rumah terbabit kebakaran sebelum bergegas pulang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanah Merah, Mohd Rafain Mat Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.26 pagi dan seramai 12 anggota serta pegawai dari BBP Tanah Merah dan BBP Machang bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik sampai, kami dapati dua rumah musnah masing-masing 100 dan 85 peratus. Kami terus berusaha memadamkan kebakaran untuk mengelakkan ia merebak.

“Api berjaya dikawal dalam masa 49 minit. Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: July 27, 2019 @ 6:18pm
d