mutakhir

Tular obor-obor tak benar

Oleh Nur Saliawati Salberi

HANYA seorang pesakit saja ditahan di Hospital Alor Gajah (HAG), Alor Gajah bagi mendapatkan rawatan selepas disengat obor-obor di Pantai Pengkalan Balak semalam.

Pengarah Kesihatan Melaka Dr Rushidi Ramly berkata, penularan dakwaan terdapat ramai pesakit mendapat rawatan di HAG akibat disengat obor-obor tidak tepat.

“Sehingga tengah hari ini hanya seorang pesakit dirawat akibat disengat obor-obor.

“Pesakit itu dimaklumkan berada dalam keadaan stabil,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu Timbalan Pengarah Perikanan negeri, Doreen Wee Siew Leen berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan dan laporan mengenai kehadiran obor-obor di pantai itu.

Sementara itu, nelayan Roslan Daud, 64, berkata, sepatutnya berita seperti itu tidak seharusnya ditularkan kerana ia boleh mencetuskan keadaan mencemaskan.

“Obor-obor tidak boleh duduk di dalam pasir kerana haiwan laut itu akan mati malah ia tidak berbahaya seperti ampai- ampai.

“Keadaan di pantai tenang tiada kehadiran obor-obor dalam skala besar seperti dihebohkan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, sudah kebiasaan antara Mei hingga awal Ogos ketika angin monsun Selatan obor-obor akan ada.

“Jika pengunjung yang mandi disengat obor-obor ia tidak bahaya cuma mengalami gatal dan merah-merah pada bahagian anggota badan berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: July 27, 2019 @ 6:33pm
d