mutakhir

JAKIM, SKMM kerjasama pantau hina Nabi, Islam

Oleh BERNAMA

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sentiasa bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memantau sebarang penghinaan terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad SAW di media sosial.

Ketua Pengarah JAKIM Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, jabatan itu mempunyai pegawai ditempatkan di SKMM bagi melakukan tindakan perlu jika terdapat aduan daripada pengguna mengenai laman sosial berbentuk penghinaan terhadap kesucian Islam dan Nabi Muhammad SAW.

“Kita bekerjasama dengan SKMM di bawah satu jawatankuasa khas ditubuh bagi mengkaji dan memantau aduan membabitkan penghinaan terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad,” katanya.

Beliau ditemui pada Istiadat Konvokesyen Darul Quran JAKIM kali ke-28 di Kuala Kubu Bharu hari ini.

Sebelum ini, beberapa pihak membuat laporan polis selepas tular di media sosial mengenai individu menggunakan akaun Wendy Loong menghina agama Islam dan Nabi Muhammad melalui hantaran dimuat naik di laman Facebook ‘Kiub Batu Itu Berhala’.

Sementara itu, Mohamad Nordin berkata JAKIM sedia maklum berhubung perkara itu dan sebagai badan menerima aduan daripada orang awam mengenai isu penghinaan terhadap Islam, JAKIM akan terus konsisten menjadi penyalur maklumat kepada pihak berkuasa termasuk SKMM dan Polis Diraja Malaysia.

“Biasanya kita akan mengumpul maklumat daripada aduan dan salurkan kepada agensi yang mempunyai kuasa penyiasatan dan melakukan tindakan,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Nordin berkata, RM35 juta diluluskan kerajaan untuk kerja menaik taraf Darul Quran bagi membina pusat akademi dan menambah jumlah asrama.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Darul Quran berkata, kerja menaik taraf yang akan dimulakan tahun depan memberi lebih keselesaan dan menambah ruang asrama kepada pelajar pusat tahfiz itu.

“Pada masa ini, 1,000 pelajar tahfiz kita sediakan kemudahan asrama, apabila ia siap tiga tahun lagi, 300 lagi pelajar boleh kita tempatkan di sini,” katanya.

Pada istiadat konvokesyen itu, 723 graduan daripada lapan program pengajian ditawarkan di Darul Quran menerima diploma dan sijil masing-masing.

Tujuh pelajar kategori mualaf dan etnik pribumi Sabah dan Sarawak juga buat pertama kali menerima skrol program Sijil Asas Tahfiz serta disahkan menghafaz 10 juzuk al-Quran.

Berita berkaitan

483 laporan polis diterima kes hina Nabi

Desak penghina Nabi diambil tindakan

Lagi laporan polis kes hina Nabi

Desak penghina Nabi diambil tindakan

Disiarkan pada: July 27, 2019 @ 8:24pm
d