mutakhir

Mencari raja lebuh raya LEKAS 2019

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

PERLUMBAAN Lebuh raya RHB LEKAS 2019 yang memasuki edisi keenam menghimpunkan 4,641 peserta untuk berentap bagi bergelar Raja Lebuh Raya malam ini.

Menerusi perlumbaan anjuran kerjasama Kumpulan Perbankan RHB dan Lebuhraya Kajang-Seremban Sdn Bhd (LEKAS) anak syarikat IJM Corporation Berhad itu, peserta dari pelbagai peringkat usia tampil menguji kemampuan kayuhan menempuh jarak sejauh 78 dan 120 kilometer (km).

Bukan itu saja, perlumbaan edisi tahun ini juga berjaya menarik minat bukan saja peserta tempatan malah pelumba 26 negara lain antaranya Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada, Ireland, Itali, Perancis dan Afrika Selatan.

Peserta kayuhan dilepaskan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Dr Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan.

Ia diiringi Pengerusi Kumpulan Perbankan RHB, Tan Sri Azlan Zainol dan Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan IJM Corporation Bhd Datuk Soam Heng Choon di Plaza Tol Kajang Selatan 8 malam tadi.

Pengarah Urusan Kumpulan Perbankan RHB, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, penyertaan untuk perlumbaan edisi kali ini meningkat lapan peratus bagi peserta lelaki manakala 14 peratus untuk peserta wanita.

Menurutnya, kelainan perlumbaan waktu malam yang ditampilkan ternyata menarik minat penggemar sukan itu khususnya golongan muda untuk merasai pengalaman berbeza berbanding apa yang ditawarkan perlumbaan lain.

“Acara ini juga menjadi platform terbaik menghimpunkan peserta dari dalam dan luar negara yang mahu mencabar kemampuan diri terutamanya mereka yang baru pertama kali menyertainya.

“Saya antara penggemar aktiviti ini dan peserta sudah pasti merasai kelainan berlumba di lebuh raya yang ternyata memberi pengalaman berbeza.

“Perlumbaan Lebuh Raya RHB LEKAS kini menjadi sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) RHB untuk tahun keempat,” katanya ketika ditemui di tapak perlumbaan.

Sementara itu, Soam berkata, IJM Corporation Bhd terus komited menjadi penaja lokasi kerana mahu menggalakkan masyarakat menyertai aktiviti riadah untuk gaya hidup sihat.

“Sejak dianjurkan, perlumbaan ini menjadi antara acara yang dinantikan penggemar aktiviti berbasikal dan menjadi acara wajib dalam kalendar berbasikal setiap tahun,” katanya.

Disiarkan pada: July 27, 2019 @ 9:26pm
d