mutakhir

Rahimin kunci mulut

Oleh Amir Mamat

KETUA Penolong Pengarah, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Rahimin Bani mengambil sikap ‘kunci mulut’ berhubung isu penamatan kontrak perkhidmatannya yang dipercepatkan 31 Ogos ini.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Penguat kuasa Agama negeri, enggan memberi sebarang ulasan mengenai perkara itu sebaliknya menyerahkannya kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan JAIM.

Ketika ditemui selepas menutup Kursus Kesedaran dan Penghayatan Islam Siri 6/2019, Rahimin hanya melafazkan ‘Alhamdulillah’ dan tersenyum.

“Tiada apa nak komen, syukur Alhamdulillah,” katanya.

Beliau yang sepatutnya menamatkan kontrak perkhidmatan 31 Disember depan, dipercepatkan kepada 31 Ogos ini, selepas dikaitkan dengan pentauliahan berceramah kepada penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin.

Isu penamatan kontrak perkhidmatan terbabit menjadi topik hangat di media sosial sejak dua hari lalu.

Difahamkan, Wan Ji menyampaikan kuliah agama di sebuah masjid di daerah Melaka Tengah tanpa tauliah pada 14 Julai lalu, membawa kepada tindakan susulan Bahagian Penguatkuasaan JAIM dengan memanggil penganjur program terbabit untuk diambil keterangan.

Mengikut Seksyen 70 (1) Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991, sesiapa yang mengajar sesuatu perkara yang berkaitan dengan agama Islam tanpa kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa agama, kecuali pada ahli keluarganya di kediamannya saja, adalah suatu kesalahan.

Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih 36 bulan atau kedua-duanya.

Semalam, Ketua Menteri, Adly Zahari dilaporkan berkata, penamatan kontrak perkhidmatan Rahimin bukan disebabkan isu tauliah berceramah oleh Wan Ji sebaliknya, untuk memberi laluan kepada muka baharu menjawat jawatan itu.

Ini kerana jawatan yang disandang Rahimin sejak lebih 20 tahun lalu itu sudah ada calon pengganti membabitkan empat pegawai di MAIM dan JAIM.

Berita berkaitan

'Kontrak Rahimin dah tamat'

Disiarkan pada: July 28, 2019 @ 12:02am
d