mutakhir

Teknologi AR

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

BERGAMBAR seorang diri tetapi selepas kamera dihalakan, timbul pelbagai imej 3D yang tidak kelihatan secara realiti, tetapi hanya pada gambar dihasilkan sekaligus menjadikan ia kelihatan menarik.

Itu antara tarikan menerusi teknologi Augmented Reality (AR) pada Pameran Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Antarabangsa(PIIACUF) 2019 berlangsung bermula Khamis lalu hingga esok.

Antara imej 3D yang tidak kelihatan secara realiti ini seperti pemain gamelan, saintis muslim, flora dan fauna selain kaligrafi 99 nama Allah disediakan di enam gerai pameran dengan aktiviti sesuai untuk seisi keluarga dan kanak-kanak.

Pengunjung Hanis Roslan, 32, mengakui, tertarik dengan kelainan yang disediakan pada pameran kali ini malah, kedua-dua anaknya berusia tujuh dan 10 tahun turut teruja dengan penggunaan teknologi AR.

“Ini kali kedua saya hadir ke penganjuran PIIACUF dan kali pertama ialah pada 2017. Banyak kelainan boleh dilihat pada kali ini apabila ia diadakan di luar bangunan berbanding sebelum ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

“Aktiviti yang diadakan termasuk teknologi AR boleh menarik minat kanak-kanak malah, di sini juga banyak maklumat dapat diperoleh misalnya mengenai Kesultanan Melayu, budaya, sejarah serta sains teknologi,” katanya ketika ditemui pada pameran berkenaan di Kompleks Perbadanan Putrajaya (PPj) di sini, semalam.

Menerusi gerai menyediakan pameran AR, pengunjung perlu melakukan imbasan QR Code pada aplikasi khas yang perlu dimuat turun pada telefon pintar seterusnya bergambar bersama pelbagai imej 3D.

Enam gerai berkenaan adalah Pameran Interaktif Kaligrafi 99 Nama Allah, Pameran Interaktif Gamelan, Pameran Interaktif Alatan Muzik, Pameran Interaktif Permainan Kanak-Kanak dan Pameran Interaktif Flora dan Fauna.

Majlis perasmian PIIACUF 2019 disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail Khamis lalu dan dibuka secara percuma kepada orang ramai.

PIIACUF 2019 bertemakan ‘Keindahan Seni Muzik dan Vokal Dunia Islam’ memfokuskan terhadap kepelbagaian muzik dan vokal dunia Islam sebagai medium menghubungkan manusia sejagat.

Disiarkan pada: July 28, 2019 @ 6:00am
d