mutakhir

Malaysia berhasrat jadi pengeluar kereta super

Oleh Kadir Dikoh

TUN Dr Mahathir Mohamad membayangkan kemungkinan Malaysia menjadi pengeluar kereta super selepas ini.

Perdana Menteri berkata, syarikat pengeluar kereta super Onuk di Turki, yang berkebolehan dalam pembuatan kereta jenis itu bersedia untuk memberi kerjasama.

“Ya, dia (syarikat terbabit) nampak berkebolehan. Sebenarnya, saya sedar berkenaan dengan perkara ini (kereta super) sudah lama.

“Tetapi saya tidak ada ‘follow-up’ (tindakan susulan) kerana semasa saya dapat maklumat ini, saya bukan perdana menteri.

“Jadi, terganggu sikitlah nak buat kemajuan. Tetapi sekarang dia (syarikat terbabit) bersedia untuk bekerjasama dengan kita, bukan saja untuk kereta ini, tetapi juga kereta lain,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian dalam sidang media ketika ditanya sama ada beliau berminat untuk menggunakan teknologi kereta super di Malaysia.

Sebelum berlepas pulang setelah mengakhiri lawatan rasmi empat hari ke Turki malam tadi, beliau ditunjukkan dua jenis kereta super.

Jenis Onuk Sazan dan Onuk S56/G dipamerkan di luar bilik orang kenamaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen di Istanbul untuk diperlihatkan kepada Dr Mahathir sebelum berlepas pulang.

Sehari sebelum itu, ketika berdialog dalam program bersama kapten Industri, beliau menawarkan kepakaran Malaysia, jika Turki berminat mengeluarkan kereta nasional sendiri berdasarkan kejayaan Proton dan Perodua.

Sementara itu, Dr Mahathir memuji kejayaan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengurus Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul sebagai bukti keupayaan syarikat dari Malaysia.

Katanya, MAHB turut mengurus lapangan terbang di beberapa negara lain, namun ISGIA yang dimiliki sepenuhnya oleh MAHB, adalah yang terbesar dengan 34 juta trafik penumpang setahun.

“Ini jauh lebih besar daripada KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) sendiri. Pengurusan lapangan terbang ini sesuatu yang istimewa. Ada orang iktiraf kebolehan kita dalam bidang ini dan banyak beri peluang,” katanya.

Disiarkan pada: July 28, 2019 @ 8:56am
d