mutakhir

Turki sedia beri akses teknologi kepada Malaysia

Oleh Kadir Dikoh

TURKI bersedia memberi akses teknologi kepada Malaysia, sesuatu yang jarang dilakukan oleh mana-mana syarikat atau negara lain, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, biasanya syarikat yang mempunyai teknologi canggih tidak sanggup mendedahkan kebolehan mereka tetapi Turki sanggup mengambil jurutera Malaysia dalam pelbagai bidang seperti pembuatan dan lain-lain lagi.

“Kita perlu mengambil peluang yang diberikan Turki itu untuk membolehkan Malaysia melonjakkan pencapaian teknologi dalam bidang pesawat dan UAV (dron).

“Kita memang ingin tingkatkan dagangan kita (dengan Turki), tapi kerjasama dalam bidang pertahanan ini adalah perkara yang amat penting,” katanya kepada wartawan Malaysia di akhir lawatan empat harinya ke Turki, di Istanbul petang semalam.

Antara lain beliau melawat Turkish Aerospace Industries (TAI) iaitu kilang membuat dron dan helikopter tempur di Ankara.

Mengenai keseluruhan hasil lawatan itu, Dr Mahathir berkata ia amat bermakna dan berharga kepada Malaysia.

“Malah, Turki menawarkan kerjasama kepada kita dalam bidang tertentu. Peluang bertemu ahli perniagaan Turki memberi peluang kepada Malaysia untuk memperluaskan bidang pelaburan.

“Sepanjang saya berada di Turki, kerajaan Turki menganjurkan pelbagai program komprehensif dan menunjukkan kebolehan mereka dalam bidang ketenteraan

“Saya pernah mengunjungi Turki 20 tahun lalu dan pada masa itu mereka hanya boleh memasang pesawat F16 tetapi kini boleh mereka bentuk produk ketenteraan sendiri,” katanya.

Dr Mahathir berkata, Malaysia mengambil sikap berkecuali dan tidak terikat dalam memperoleh aset ketenteraan berbanding Turki yang menjadi anggota NATO.

Hadir sama Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob.

Dr Mahathir yang diiringi isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali kemudian berlepas pulang di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul, yang diurus dan ditadbir oleh Malaysia Airports Holdings Berhad.

Disiarkan pada: July 28, 2019 @ 9:07am
d