mutakhir

Dugaan Noor Iffat

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

UMURNYA baru 14 bulan, namun ujian dialami seorang bayi perempuan di Alor Gajah begitu perit untuk ditanggung apabila disahkan mengidap kanser di kedua-dua buah pinggangnya.

Biarpun nampak sihat dan aktif, saiz tumor sel kanser pada buah pinggang sebelah kanannya kian membesar yang kini sedang merebak ke buah pinggang kiri menyebabkan Noor Iffat Amani Mohd Safuan terpaksa menjalani rawatan kemoterapi sebanyak tiga kali, sejak awal bulan ini.

Ibu bayi berkenaan, Nurul Faezah Hamzah, 34 berkata, hanya Tuhan yang tahu betapa sedihnya dia dan suami, Mohd Safuan Ramlee, 30 apabila anak bongsu daripada tiga beradik itu disahkan mengidap kanser buah pinggang pada 27 Jun lalu.

Lebih malang, apabila doktor menganggarkan kos pembedahan Iffat adalah sekitar RM25,000 sedangkan Mohd Safuan hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan hotel bergaji RM1,100 sebulan.

Bagi Nurul Faezah pula, dia terpaksa berhenti kerja pada bulan lalu memberi sepenuh perhatian kepada bayinya itu selain dua lagi anaknya yang masih kecil, Noor Iman Aiman, 8 dan

Noor Izz Amsyar, 4.

“Ketika anak disahkan mengidap kanser saya tergamam, sedih dan pilu mengenangkan anak yang masih bayi dan sihat sebelum ini tiba-tiba perlu menjalani pembedahan selain rawatan kemoterapi empat kali sebulan sebelum dijangka menjalani pembedahan awal September depan.

“Buah pinggang sebelah kanannya mungkin tidak dapat diselamatkan kerana saiz tumor sel kanser yang membesar dan doktor sedang berusaha membunuh sel kanser yang telah merebak ke buang pinggang kiri.

“Tak dapat saya bayangkan, bagaimana Iffat akan meneruskan kehidupan sekiranya kedua-dua buah pinggangnya rosak,” katanya disertai linangan air mata ketika ditemui NSTP di rumahnya di Kampung Seberang Perai, Ayer limau, Masjid Tanah, semalam.

Menurut Nurul Faezah, setiap bulan dia dan suami terpaksa berulang-alik dari Masjid Tanah ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras Kuala Lumpur bagi menjalani rawatan kemoterapi anak bongsunya itu kerana ketiadaan doktor pakar kanser buah pinggang di Hospital Melaka.

“Kos ulang alik hospital pula adalah RM200 untuk satu sesi rawatan kemoterapi dan dalam sebulan, Iffat perlu menjalani empat kali terapi dan satu pemeriksaan ultrasound yang menelan belanja RM1,000

“Gaji suami baru RM1,100 dan bulan depan, Iffat perlu menjalani proses rawatan sama sebelum dijangka menjalani pembedahan pada awal September sekiranya keputusan tumor sel kanser itu semakin hilang,” katanya.

Bagaimanapun, Nurul Faezah berkata, dia juga bersyukur dan berterima kasih atas keprihatinan orang ramai yang menyalurkan sumbangan melalui tabung kutipan derma anaknya itu yang diletakkan di kedai makan dan masjid baru-baru ini.

Sebelum itu katanya, dia juga sudahmenularkan status penyakit kanser anaknya itu dan memohon sumbangan menggunakan akaun Facebooknya Nurul Faezah Binti Hamzah.

“Sebahagian besar sumbangan itu digunakan untuk kos ulang-alik hospital dan penjagaan Iffat sepanjang rawatan, manakala kos rawatan kami sedang berusaha mendapatkan bantuan dari pusat zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui nombor akaun Maybank 162143028384 (Nurul Faezah Hamzah).

Disiarkan pada: July 28, 2019 @ 11:34am
d