mutakhir

Empat serbuan rampas dadah RM1.75 juta [METROTV]

Oleh Mohd Sabran Md Sani

POLIS Johor menumpaskan sindiket pengedaran dadah hasil empat serbuan di Muar dan Johor Bahru serta merampas dadah seberat 30.20 kilogram bernilai RM1.753 juta.

Sembilan lelaki termasuk warga asing berusia antara 20 hingga 46 tahun ditahan dan lima kenderaan dirampas.

Ketua Polisnya Datuk Mohd Kamaruddin Md Din berkata, serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor dan JSJN Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar bermula 23 Julai hingga Jumaat lalu.

Katanya, keseluruhan empat serbuan dilakukan dan semua suspek dipercayai daripada sindiket sama.

“Serbuan pertama di Jeti Nelayan, Parit Sakai Laut, seorang lelaki berusia 37 tahun ditahan bersama 10,800 biji pil ekstasi, 8,174 gram pil ekstasi dan 4,970 biji pil Erimin 5 yang semuanya bernilai RM753,250.

“Dalam serbuan kedua pula, dua lelaki berusia 44 dan 46 tahun ditahan dan kita merampas 10,962 biji pil ekstasi dan 11 gram syabu bernilai keseluruhan RM275,150,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Johor, hari ini.

Mohd Kamaruddin berkata, pihaknya merampas 3,098 syabu bernilai RM154,900 di sekitar Setia Tropika, Kempas pada Jumaat lalu.

Katanya, dalam serbuan ketiga itu, lima lelaki berusia 20 hingga 28 tahun ditahan bersama sebuah kenderaan jenis Volkwagen.

“Sementara, seorang lelaki ditahan dalam serbuan keempat di Taman Adda Height, Johor Bahru pada hari sama, yang membolehkan 11.4 kg dadah dirampas bernilai RM570,000. Kita juga merampas dua kenderaan iaitu Perodua Myvi dan sebuah motosikal Honda Dash,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek ditahan reman bermula 27 Julai hingga 2 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Untuk rekod, sejumlah 11, 572 orang sudah ditahan bersabit kes dadah bermula 1 Januari lalu dengan rampasan dadah sebanyak 2,719 kilogram yang bernilai RM127.51 juta dan harta RM6.214 juta.

Disiarkan pada: July 28, 2019 @ 2:49pm
d