mutakhir

HUSM perkenal rawatan matikan sel kanser

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

HOSPITAL Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian memperkenalkan rawatan penyakit kanser yang lebih efektif menerusi kaedah radiologi intervensi.

Penyelaras Unit Perawatan Radiologi Intervensi (AMIEN) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Dr Chandran Nadarajan berkata, kaedah rawatan yang diperkenalkan itu untuk mematikan sel kanser.

Menurutnya, Unit Perawatan Radiologi Intervensi HUSM adalah pusat rujukan utama bagi negeri Pantai Timur serta satu-satunya hospital yang mempunyai kepakaran dan kemudahan dalam bidang radiologi intervensi untuk merawat pesakit di Kelantan dan Terengganu.

“Melalui rawatan intervensi radiologi, pakar bedah akan melakukan pembedahan berpandukan imej menggunakan laser atau wayar yang dimasukkan ke dalam saluran darah.

“Dalam masa sama, ia juga tidak memerlukan pembedahan yang besar selain mengurangkan kesan sampingan seperti jangkitan kuman.

“Buat masa ini, dua hingga tiga pesakit yang menjalani pembedahan setiap hari di HUSM.

“Kebiasaannya kaedah rawatan ini banyak digunakan untuk merawat penyakit kanser hati, paru-paru dan buah pinggang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Seminar Kali Kelapan East Coast Society of Neuroradiology dan Interventional Radiology (ECSNIR) 2019 yang dirasmikan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Dr Asma Ismail di Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama Pengarah HUSM Prof Datuk Ahmad Sukari Halim dan Pengerusi Persatuan ECSNIR Prof Madya Dr Mohd Shafie Abdullah.

Seminar yang diadakan selama dua hari bermula hari ini dan berakhir pada 29 Julai dihadiri 300 peserta dari seluruh negara terdiri daripada pakar radiologi, pegawai perubatan, juru X-ray, jururawat, pembantu perubatan dan pelajar sarjana muda perubatan.

Seminar berkenaan turut disertai oleh panel dari Itali dan Thailand bagi meningkatkan pemahaman peserta dalam bidang rawatan intervensi radiologi.

Sementara itu, Dr Asma berkata, seminar yang diadakan itu adalah sebahagian daripada usaha pihaknya untuk terus mempelopori kaedah perubatan moden kerana mendidik serta meneroka peluang melalui teknologi terkini sudah sinonim dengan USM.

“Seiring dengan usaha kami dalam merintis peluang baharu khususnya dalam bidang perubatan, kesihatan, penyampaian maklumat terkini mengenai perawatan penyakit ketumbuhan (onkologi) melalui kaedah intervensi radiologi serta kesihatan wanita menjadi objektif utama seminar ini,” katanya.

Disiarkan pada: July 28, 2019 @ 4:04pm
d