mutakhir

Johor tubuh Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar

Oleh Nurul Amanina Suhaini

KERAJAAN Johor hari ini mengumumkan Penubuhan Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar bagi memantau pencemaran di negeri ini dan tindakan yang perlu diambil.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar Dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon berkata, objektif utama penubuhan Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar itu adalah bagi menangani isu pencemaran di Johor menerusi tindakan pemantauan dan penguatkuasaan punca pencemaran alam sekitar.

“Selain itu, Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar ini akan menyelaraskan tindakan antara agensi menerusi bidang kuasa masing-masing supaya tindakan bersepadu dapat diambil.

“Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar ini akan dipengerusikan oleh saya dan dianggotai pelbagai agensi kerajaan.

“Setakat ini, terdapat 25 agensi dan jabatan terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, senarai akhir anggota jawatankuasa akan diumumkan selepas ia dimuktamadkan.

“Pembabitan pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar ini adalah amat penting kerana isu pencemaran bukan sesuatu masalah yang bersifat ‘silo’.

“Punca dan bentuk pencemaran adalah pelbagai dan memerlukan tindakan bersepadu yang pintar serta cekap demi kesejahteraan rakyat.

“Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar ini akan berfokus kepada tiga jenis kawalan pencemaran utama iaitu pencemaran air, pencemaran udara, serta pengurusan buangan,” katanya.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Disiarkan pada: July 28, 2019 @ 10:33pm
d