mutakhir

[UPDATE] Gajah mati kemalangan masih 'bayi'

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

GAJAH betina yang mati dirempuh lori di Kilometer 44 Jalan Kuala Berang-Aring semalam, dianggarkan berusia lima atau enam tahun.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, ia disahkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) negeri yang melakukan bedah siasat ke atas bangkai gajah itu.

Katanya, bangkai haiwan malang itu juga diuruskan PERHILITAN negeri untuk ditanam ke kawasan bersesuaian.

“Susulan kejadian itu, kami harap pengguna jalan raya sentiasa berwaspada ketika melalui kawasan berkenaan kerana laluan itu yang terkenal sebagai tempat haiwan liar melintas terutamanya pada waktu malam.

“Bukan sahaja gajah tetapi haiwan lain seperti kijang, tapir dan rusa juga menggunakan laluan sama.

“Diharapkan pengguna jalan raya lebih prihatin bagi mengelak kejadian berulang dan bukan sahaja untuk keselamatan mereka tetapi juga memulihara hidupan liar yang diancam kepupusan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, portal Harian Metro melaporkan seekor gajah mati selepas dirempuh lori yang membawa muatan bijih besi di lokasi terbabit pada 10.23 malam semalam.

Berita berkaitan

Gajah mati dirempuh lori [METROTV]

Disiarkan pada: July 29, 2019 @ 11:17am
d