mutakhir

Di mana Pak cik Idris?

Oleh Ramli Ibrahim

LELAKI warga emas hilang selepas keluar dari rumahnya di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Lebir, di Gua Musang, kelmarin.

Kehilangan, Idris Che Din, 81, disedari anaknya, Siti Zulaiha Idris, 25, apabila tidak pulang ke rumah sehingga 8 malam.

Siti Zulaiha berkata, dia tidak tahu bapanya keluar rumah tetapi dimaklumkan penduduk ada ternampak lelaki itu berjalan seorang diri sekitar RKT itu, jam 3 petang.

“Kebiasaan bapa yang selalu keluar rumah tidak pergi jauh dari kampung dan pulang semula ke rumah sebelum jam 7 malam.

“Bagaimanapun, kali ini, bapa tidak pulang sehingga pagi ini. Saya bersama penduduk juga sudah mencarinya di kawasan sekitar namun gagal,” katanya ketika dihubungi di Gua Musang, hari ini.

Menurutnya, bapanya menghidap penyakit nyanyuk dan kadangkala penduduk akan membantu membawa pulang ke rumah.

“Saya bimbang berlaku kejadian tidak diingini dan merayu orang ramai yang mempunyai maklumat untuk hubungi saya di talian 0179457762 atau membuat laporan di balai polis berdekatan.

“Saya sudah membuat laporan di Balai Polis Paloh, jam 10 pagi semalam untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Kita akan melancarkan gerakan mencari mangsa secepat mungkin dengan bantuan pelbagai agensi lain,” katanya.

Disiarkan pada: July 29, 2019 @ 11:39am
d