mutakhir

Lapan lagi 'Awang hitam' ditahan

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

LAPAN lagi warga Afrika ditahan malam tadi menjadikan keseluruhan 18 orang bagi membantu siasatan susulan tindakan mereka menyerang anggota polis di pangsapuri dekat Damansara, Petaling Jaya, Khamis lalu.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, polis Selangor sudah menahan 18 orang itu bagi membantu siasatan hubung kait mereka dengan insiden itu.

“Dalam kes ini, tindakan ganas dan tidak bertanggungjawab dilakukan sekumpulan warga Afrika mengasari anak buah saya.

“Jadi, sesiapa saja yang melanggar undang-undang akan diambil tindakan sekeras-kerasnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Jerayawara (Roadshow) Autisme: Garis Panduan Polis Diraja Malaysia (PDRM), di Maktab PDRM, Cheras, hari ini.

Turut hadir, Ketua Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) Datuk Ramli Din.

Abdul Hamid berkata, polis ke lokasi itu selepas menerima aduan orang ramai untuk menjalankan siasatan namun sebaik tiba, mereka seolah-olah menunggu polis sehingga berlaku perkara yang tidak sepatutnya di negara ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, 10 orang yang ditahan sebelum ini akan disambung reman di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini.

“Sementara itu, lapan lagi lelaki warga Afrika ditangkap 12.30 tengah malam tadi di sekitar Apartmen Flora Damansara dan mereka akan direman hari ini,” katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] Kesan baki 'awang hitam' serang polis

Kepung, pijak, balun

Disiarkan pada: July 29, 2019 @ 1:04pm
d