mutakhir

Remaja teman bapa rentung, kabin terbakar

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

REMAJA lelaki yang menemani bapanya bekerja sebagai pengawal keselamatan di tapak pembinaan di Kawasan Perindustrian Zurah, Hulu Selangor, rentung apabila kabin pekerja terbakar, hari ini.

Dalam kejadian pada 5.30 pagi itu, J Deneshwaran, 17, dipercayai tidur seorang diri di dalam kabin berkenaan yang dinyalakan lilin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Deputi Superintendan Azman Ab Rahman berkata, mangsa tidak bekerja di tapak pembinaan berkenaan dan hanya menemani bapanya yang berkawal di tapak pembinaan kilang di situ.

“Susulan kebakaran itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu ke lokasi untuk memadam kebakaran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azman berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

“Punca kebakaran masih lagi dalam siasatan bomba,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, sebuah jentera dengan kekuatan lapan anggota ke lokasi dan tiba pada 5.49 pagi.

“Pemeriksaan sejurus api dipadamkan menemui seorang individu dalam keadaan terbaring di dalam kabin itu. Mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: July 29, 2019 @ 1:31pm
d