mutakhir

'Tolong pulangkan semula beg saya'

Oleh Nur Lela Zulkipli

“TOLONGLAH pulangkan semula beg saya. Banyak dokumen penting yang saya perlukan untuk tamatkan pengajian tahun ini,” rayuan penuntut tahun akhir sebuah kolej vokasional, Muhammad Aiman Haqim Md Yazed, 19.

Rayuan itu dibuatnya selepas kereta jenis Perodua Alza milik bapanya dipecah masuk dalam kejadian di Batu 8, Jalan Sijangkang di Kuala Langat, kelmarin.

Muhammad Aiman berkata, tiada barangan bernilai lain yang hilang dalam kejadian berkenaan melainkan beg miliknya itu.

“Kami sekeluarga berhenti untuk makan malam di restoran makanan laut berhampiran sebuah stesen minyak di Batu 8, Sijangkang itu pada 10 malam.

“Selepas selesai makan kira-kira 10.30 malam, saya dapati cermin di tempat duduk penumpang hadapan pecah.

“Saya syak kereta ayah dipecah dan saya terus cari beg sandang jenis Puma warna hitam yang saya letak di bahagian penumpang belakang.

“Ternyata beg saya sudah dibawa lari oleh individu yang memecah kereta,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Terdahulu, Muhammad Aiman memuat naik status di akuan Facebooknya yang meminta orang ramai atau ‘penjenayah’ yang mengambil begnya itu agar dapat memulangkan kepadanya segera.

Menurutnya, di dalam beg berkenaan terkandung dokumen penting, komputer riba jenis Acer, pemacu pena (pendrive), sijil, pingat, pengecas telefon bimbit dan beberapa helai baju.

“Saya perlukan semua barangan dalam beg berkenaan kerana ia amat penting untuk pastikan saya dapat tamatkan pengajian tahun ini.

“Lebih-lebih lagi dalam pemacu pen itu ada hasil kerja grafik yang perlu dihantar untuk dibuat penilaian.

“Saya juga tidak sempat untuk menunjukkan kepada bapa pingat emas yang dimenangi dalam karnival sukan baru-baru ini.

“Saya baru saja pulang dari Balik Pulau, Pulau Pinang sebelum ke restoran berkenaan untuk makan malam,” katanya.

Muhammad Aiman berkata, dia sangat memerlukan semua barangan berkenaan dan berharap pihak yang mengambilnya memulangkan dalam masa terdekat.

“Saya tidak sangka langsung kereta bapa akan dipecah kerana tempat itu sangat sibuk dengan kereta lalu-lalang dan juga yang meletakkan kenderaan untuk makan di restoran berkenaan.

“Namun, keadaan gelap mungkin memudahkan kerja untuk pecah kereta di kawasan itu. Saya berdoa supaya individu yang membawa lari beg saya lembut hati supaya pulangkan semula barang saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Azizan Tukiman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan kini sedang mengesan suspek yang terbabit.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat bolehlah menyalurkannya di mana-mana balai berhampiran atau berhubung dengan Bilik Gerakan IPD Kuala Langat di talian 03-31872222,” katanya.

Disiarkan pada: July 29, 2019 @ 2:53pm
d