mutakhir

'Benda hendak jadi...'

Oleh Farah Suhaidah Othman

“BENDA hendak jadi, kita tidak dapat menghalang,” kata anak saudara kepada Hussain Maidin, 35, yang meninggal dunia selepas bergaduh dengan abangnya di hadapan kedai makan di Pengkalan Bharu, Pantai Remis, Manjung semalam.

Dia berusia 30-an dan enggan dikenali berkata, mereka sekeluarga menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kejadian itu.

“Saya tidak mahu ulas kejadian itu. Tapi apa boleh saya katakan, pergaduhan dalam keluarga, antara adik-beradik adalah biasa, cumanya benda (gaduh hingga bawa maut) hendak terjadi,” katanya ketika ditemui di di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, hari ini.

Dalam kejadian 11.40 malam, Hussain meninggal dunia di lokasi kejadian dengan kesan tetakan objek tajam di kepala, manakala ibunya yang cuba meleraikan pergaduhan itu serta suspek, cedera.

Arwah anak kelima daripada enam beradik, masih belum berkahwin dan tinggal bersama abangnya.

Anak saudaranya memberitahu, kali terakhir bertemu arwah pada Jumaat lalu dan dia tidak menunjukkan sebarang perubahan tingkah laku.

Jenazah mangsa sudah dituntut keluarga pada 1 tengah hari, hari ini dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pengkalan Bharu, Pantai Remis selepas solat Asar.

Berita berkaitan

Abang bunuh adik...

Disiarkan pada: July 29, 2019 @ 4:27pm
d