mutakhir

Curi air untuk rumah kongsi

Oleh Azzman Abdul Jamal

KONTRAKTOR tapak pembinaan di Bandar Sri Sendayan di Seremban hari ini, dikesan melakukan penyambungan paip secara haram untuk kegunaan lebih kira-kira 100 pekerjanya yang tinggal di rumah kongsi berhampiran.

Susulan itu, Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menyerbu tapak pembinaan berkenaan kira-kira 12 tengah hari tadi selepas menerima aduan seminggu lalu.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam SAINS Norzita Ismail berkata, pemeriksaan mendapati kontraktor terbabit membuat penyambungan secara tidak sah menggunakan paip poly jenis HDPE berukuran 32 milimeter (mm).

“Ujian di tapak pembinaan itu mengesahkan ia adalah air rawatan SAINS dan kes ini menyumbang kepada air tidak berhasil (NRW) juga.

“Siasatan mendapati air yang dicuri itu adalah untuk kegunaan rumah kongsi yang didiami kira-kira 100 buruh pembinaan terletak berhampiran dengan tapak pembinaan terbabit,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Mengulas lanjut, Norzita berkata, tempoh penyambungan haram dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

“Kita perlu memasang meter untuk kenal pasti bacaan air yang digunakan.

“Kontraktor terbabit dikesan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 89(9) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda maksimum RM50,000 atau dipenjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Disiarkan pada: July 29, 2019 @ 5:48pm
d