mutakhir

67 kilang haram di Pasir Gudang

Oleh Nurul Amanina Suhaini

SEBANYAK 67 kilang yang beroperasi dalam kawasan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dikenal pasti tiada lesen perniagaan sah.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar Dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon berkata, susulan itu pihaknya mengesyorkan tindakan mahkamah diambil.

“Daripada jumlah itu, lapan premis dikenakan tindakan mahkamah, 46 premis diberi notis pengosongan premis, selain tiga disita, dua ditutup dan lapan masih dalam siasatan.

“Terdapat empat premis mempunyai lesen daripada MPPG tetapi melakukan kesalahan kerana menceroboh tanah kerajaan.

“Tindakan seterusnya adalah kepada tapak yang melanggar undang-undang,” katanya pada sidang media selepas mengadakan Ops Bersepadu Kilang Haram di Pasir Gudang, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar.

Tan berkata, operasi membabitkan empat lokasi iaitu di tiga kilang dan sebuah bengkel besi buruk yang membawa kepada penahanan 12 pendatang asing tanpa izin (PATI).

Katanya, operasi yang dijalankan selama dua jam bermula 9.30 pagi itu, membabitkan lebih 60 anggota pelbagai agensi termasuk JAS, MPPG, Jabatan Imigresen, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).

“Kesemua yang ditahan warga Bangladesh (8), dua Indonesia dan dua China. Hasil pemeriksaan, kilang pertama didapati mempunyai lesen MPPG, namun tiada permit daripada JAS dan proses siasatan masih dijalankan.

“Manakala, kilang kedua didapati tidak ada lesen perniagaan sah dan premis sudah disita. Bagi kilang ketiga dan keempat pula, pemilik premis melakukan kesalahan merangkumi ceroboh tanah kerajaan, tiada lesen sah MPPG dan kini sudah disita,” katanya.

Menurutnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) turut diminta menyenaraikan kilang lain yang beroperasi secara haram dan operasi berterusan akan dijalankan.

Disiarkan pada: July 29, 2019 @ 6:22pm
d