mutakhir

Surat sokong Anwar tak perlu - Amirudin

Oleh Siraj Mohd Zaini

TINDAKAN segelintir Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR menandatangani dokumen bagi membuktikan sokongan kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sebagai tidak wajar.

Pengerusi MPN PKR Selangor, Amirudin Shari berkata, sokongan semua pemimpin PKR negeri terhadap Anwar sudah dibuktikan menerusi kemenangan tanpa bertanding bagi jawatan Presiden pada pemilihan parti lalu.

Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor itu turut bertegas tidak akan menandatangani dokumen seperti yang dilakukan beberapa Pengerusi MPN PKR negeri sebelum ini.

“Presiden tidak pernah dicabar, presiden tidak dicabar langsung dalam pemilihan parti. Sokongan semua pihak (kepada presiden) tidak pernah dipertikaikan.

“Jadi kenapa hendak perbaharui sokongan? Bagi saya tidak lihat kewajaran untuk beramai-ramai tandatangan surat sokongan ini.

“Bagi Kerajaan Selangor, kita sokong Anwar selaku presiden dan Azmin (Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) yang dapat undi majoriti serta seluruh barisan kepemimpinan parti,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Shah Alam, hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, surat sokongan hanya diperlukan jika terdapat usul tidak percaya terhadap Anwar.

“Namun, perkara ini tidak wujud dan saya percaya sampai habis penggal pun tidak akan berlaku cubaan untuk rampas kuasa jawatan presiden.

“Jadi tidak timbul isu perbaharui tekad kepada presiden parti. Surat sokongan ini pun hanya untuk menunjukkan pengukuhan sokongan kepada Anwar sebagai presiden parti ,” katanya.

Sokongan penuh daripada pemimpin PKR negeri terhadap Anwar diperlukan berikutan terdapat khabar angin mendakwa berlaku perpecahan dalam parti itu susulan penyebaran video lucah yang dikaitkan dengan seorang pemimpin kanan parti berkenaan.

Disiarkan pada: July 29, 2019 @ 6:23pm
d