mutakhir

Mujahid buat laporan polis

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa hari ini membuat laporan polis terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Perak yang menggunakan nama ‘MyNewsHub’ kerana memuat naik poster kenyataan fitnah yang mengaitkannya.

Laporan polis itu dibuat Setiausaha Akhbarnya, Siti Zulaikha Zulkifli di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya 11 pagi tadi.

Dalam satu kenyataan, Mujahid tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan seperti dalam Facebook berkenaan.

Katanya, selain laporan polis pihaknya turut merujuk perkara itu kepada peguamnya supaya tindakan mahkamah dapat diambil.

“Dinasihatkan orang ramai selepas ini tidak sewenang-wenangnya menulis perkara tidak benar serta menjadi rakyat yang lebih bertanggungjawab.

“Ingin ditegaskan menteri tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan sedemikian malah beliau dengan tegas sudah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengesan individu yang mengeluarkan kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW atau agama Islam,” katanya.

Laporan polis itu dibuat susulan penyalahgunaan gambar dan nama Mujahid dalam satu poster yang dimuat naik oleh MyNewsHub dan ADUN berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan.

“Hanya ada satu laporan yang dibuat Setiausaha Akhbar Menteri dan kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Disiarkan pada: July 29, 2019 @ 6:58pm
d