mutakhir

JAS siasat 2 kejadian pembakaran terbuka

Oleh Nor Farhani Che Ad

DUA kejadian pembakaran terbuka dikesan berlaku di Sungai Petani hingga menyebabkan berlaku pencemaran udara sekali gus menimbulkan ketidakselesaan kepada sekitar.

Kejadian itu dilaporkan berlaku di Kampung Serukam dan Jalan Kampung Alor Perun dekat Pinang Tunggal.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Sains dan Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Simon Ooi Tze Min berkata, kakitangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) sudah diminta ke lokasi bagi mengenal pasti punca kebakaran.

Menurutnya, tindakan itu diambil susulan daripada aduan yang diterima beliau daripada penduduk sekitar lokasi kejadian.

“Saya menerima aduan daripada penduduk sekitar terutamanya warga Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tai Tong di Taman Kempas yang mengadu masalah pencemaran udara teruk yang berlaku pagi tadi.

“Siasatan mendapati kebakaran berlaku di kawasan berhampiran kilang papan yang dipercayai dilakukan oleh pekerja kilang itu sendiri, manakala juga satu lagi kejadian di kawasan kampung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu, katanya, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 29 A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan denda sehingga RM500,000 atau maksimum lima tahun penjara atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“JAS juga dalam usaha mengenal pasti pemilik tanah kawasan terbakar serta mencari dalang yang menjadi punca kebakaran itu berlaku,” katanya.

Disiarkan pada: July 29, 2019 @ 7:20pm
d