mutakhir

'Tidak mustahil jadi seperti Colombia' - KPN

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

TIGA puluh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditahan sejak Januari lalu kerana terbabit dalam aktiviti penagihan dadah.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, setiap minggu ada saja pegawai dan anggota polis ditahan kerana mengambil dadah terutamanya syabu.

Menurutnya, masalah dadah ini serius dan jika tidak dibendung sekarang tidak mustahil negara ini akan jadi seperti Colombia.

“Jumlah penagih dadah semakin meningkat, malah orang saya sendiri ditahan setiap minggu kerana mengambil syabu.

“Tindakan tegas sudah diambil terhadap mereka kerana jika warga PDRM sendiri tidak ‘bersih’, bagaimana kita mahu membanteras aktiviti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan majlis Jerayawara (Roadshow) Autisme: Garis Panduan Polis Diraja Malaysia (PDRM), di Maktab PDRM, Cheras, hari ini.

Hadir sama Ketua Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) Datuk Ramli Din.

Abdul Hamid berkata, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman kerana banyak kejayaan dan merampas ratusan kilo dadah serta aset sindiket disita selain diambil tindakan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

“Sindiket ini makin tersepit apabila jika dulu mereka menyewa kilang lama, namun kini semakin berani menyewa rumah teres membina makmal dadah.

“Kita juga mengadakan perbincangan dengan kerajaan dan pihak berkuasa negara luar bagi menangani isu dadah ini kerana jika tidak bertindak sekarang akan hancur negara,” katanya.

Disiarkan pada: July 29, 2019 @ 7:46pm
d