mutakhir

'Kami kesal, minta maaf ' [METROTV]

Oleh Faliq Lajim

DUA remaja kesal selepas perbuatan mereka membakar seekor tikus dan memuat naik di media sosial mengundang kemarahan netizen.

Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun yang enggan dikenali berkata, kejadian itu berlaku petang semalam di sebuah kawasan perumahan di Chemor, Perak.

“Kami geram sebab tikus itu pernah menggigit haiwan peliharaan kami iaitu anak burung dan tupai terbang (sugar glider) hingga mati.

“Sabtu lalu, tikus itu masuk perangkap yang dipasang dan kami kemudiannya putuskan untuk bunuh tikus itu.

“Cuma kami tidak peka dengan cara yang betul untuk membunuh haiwan perosak itu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, dia dan teman lelakinya sangat menyesali dengan perbuatan itu dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

“Kami sedar akan perbuatan membakar tikus adalah kejam berikutan ia secara tidak langsung menyeksa haiwan itu.

“Minta maaf kepada semua orang yang tersinggung dengan video terbabit. Saya juga berharap agar video itu tidak ditularkan lagi,” katanya.

Sebelum ini, remaja berkenaan memuat naik satu rakaman video di laman Instagram miliknya dengan menunjukkan individu yang juga teman lelakinya membakar seekor tikus berada di dalam perangkap.

Difahamkan, tikus itu terlebih dulu disiram dengan petrol sebelum dibakar dan dicampakkan ke dalam longkang.

Video itu kemudiannya ditularkan melalui satu tangkapan skrin video dan dimuat naik oleh seorang pengguna Twitter.

Perbuatan itu mengundang kemarahan netizen yang mengutuk perbuatan itu walaupun tikus adalah haiwan perosak.

Disiarkan pada: July 29, 2019 @ 9:34pm
d