mutakhir

Lima anggota tentera cedera kemalangan

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

SEORANG anggota tentera parah selepas kenderaan pacuan empat roda Land Rover tentera yang dinaiki terbabas di Kilometer 50, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai di Kampung Pek hari ini.

Kejadian 5.40 petang itu turut menyebabkan empat anggota tentera yang berada dalam kenderaan sama turut cedera.

Semua mangsa berusia 20 hingga 36 tahun dikejarkan ke Hospital Machang untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Ganti Jimmy berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan pulang dari lapangan sasar di Bukit Merbau ke Kem Tentera.

Katanya, apabila tiba di lokasi Land Rover dipandu Mohd Hafis Mohd Nor, 35, mengalami kerosakan stereng.

“Disebabkan kerosakan itu, anggota tentera berkenaan gagal mengawal kenderaan yang dipandu lalu terbabas ke longkang di bahu jalan.

“Kemalangan itu menyebabkan pemandu dan penumpang hadapan cedera muka. Penumpang belakang berusia 31 tahun parah dan dua lagi hanya luka.

“Semua mangsa dibawa ke Hospital Machang untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Disiarkan pada: July 29, 2019 @ 11:19pm
d