mutakhir

Suami isteri cedera dilanggar lori

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SUAMI isteri cedera selepas motosikal dinaiki mereka dilanggar lori muatan tanah berhampiran masjid di Batu 14, Jalan Hulu Langat, Hulu Langat, malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu, 10.03 malam tadi.

“Enam anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kami mendapati berlaku kemalangan membabitkan lori muatan tanah, van dan motosikal dinaiki suami isteri,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Katanya, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila lori berkenaan terbabas sebelum melanggar van dan motosikal terbabit.

“Pelanggaran itu menyebabkan suami isteri terbabit cedera sebelum dikejarkan ke Hospital Ampang untuk menerima rawatan,” katanya.

Disiarkan pada: July 30, 2019 @ 12:13am
d