mutakhir

Gunting rambut bantu rawatan bapa

Oleh Roselan Ab Malek

TERSENTUH pengorbanan Roziman Alang Bahari, 38, yang sanggup memindahkan sebahagian hati kepada anaknya, sekumpulan tukang gunting melancarkan Program Amal Gunting Rambut semalam, untuk menampung kos pembedahan itu.

Seramai lapan tukang gunting dari Jerantut Barber Connection (JBC) mengadakan program itu selepas mengetahui kesukaran dihadapi keluarga lelaki terbabit mencari dana untuk pembedahan yang dijadualkan bulan depan.

Pengerusi program, Mohd Yousman Mustaffa berkata, program itu diadakan di tingkat atas Terminal Bas Jerantut di sini, bermula jam 10 pagi hingga lewat petang semalam.

“Semua hasil kutipan disumbangkan kepada keluarga Roziman dan kami berharap ia dapat membantu meringankan beban mereka.

“Kami difahamkan kos pembedahan itu mencecah RM120,000 dan saya mewakili JBC berharap usaha kami mendapat sokongan orang ramai yang ingin menunjukkan rasa prihatin mereka,” katanya.

Kisah Romizan yang mendermakan sebahagian hati kepada anaknya, Nur Syafiqa, 11, disiarkan media 23 Julai lalu dan mendapat perhatian pelbagai pihak.

Lelaki berasal dari Felda Jengka 12, dekat sini, berkata, Nur Syafiqa disahkan menghidap penyakit hati kronik ketika berusia 86 hari dan pembedahan akan dilakukan 6 Ogos depan, selepas Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur, menjalankan pemeriksaan kesihatan terhadapnya, awal bulan ini.

Bagaimanapun, Romizan yang berniaga kecil-kecilan mengakui buntu apabila memikirkan kos pembedahan mencecah RM120,000.

Disiarkan pada: July 30, 2019 @ 5:00am
d