mutakhir

Nekad rempuh polis [METROTV]

Oleh Nor Farhani Che Ad

DUA lelaki cuba merempuh tiga anggota polis menggunakan sebuah kereta di laluan kecemasan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, semalam

Kejadian 6.25 petang itu mengakibatkan salah seorang anggota polis cedera di kaki.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner, Adzli Abu Shah berkata, suspek bertindak sedemikian ketika cuba melarikan diri dari pemeriksaan anggota polis terbabit.

“Terdahulu, kedua-dua suspek berusia 30-an itu diminta keluar dari kereta untuk pemeriksaan.

“Bagaimanapun, suspek enggan memberikan kerjasama, malah cuba merempuh anggota terbabit.

“Polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan, namun, kedua-dua suspek dapat melarikan diri,” katanya

Bagaimanapun katanya, kereta berkenaan ditemui terbabas di kawasan semak di Jalan Ambangan Heights, kira-kira satu kilometer dari kawasan hospital tidak lama kemudian.

“Kenderaan itu ditinggalkan dalam keadaan berkunci dan pemeriksaan di dalamnya menemui beberapa topi keledar serta peralatan menghisap dadah,” katanya.

Adzli berkata, sebelum kejadian, suspek bersama dua penumpang wanita berusia 50 dan 20 tahun dilihat di Kilometer 115 Lebuhraya Utara Selatan, pada 5.30 petang.

Ketika itu, mereka dilihat membantu dua beranak yang terbabit kemalangan.

“Polis hanya meminta mereka untuk mengalihkan kenderaan, namun, pemandu kereta, iaitu salah seorang suspek bertindak agresif dan beredar bersama mangsa kemalangan menuju ke hospital,” katanya.

Beliau berkata, selepas tiba di hospital, mereka menurunkan mangsa kemalangan itu.

Katanya, dua penumpang wanita dalam kenderaan itu juga keluar dari kenderaan dan berada di hospital.

Katanya, suspek kemudian memandu untuk beredar dari hospital sebelum cuba merempuh anggota polis.

“Kedua-dua suspek lelaki masih dikesan, manakala penumpang wanita yang berada di hospital ditahan untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: July 30, 2019 @ 9:30am
d