mutakhir

Hasrat tak kesampaian

Oleh Syaherah Mustafa

“ARWAH baru sahaja berbual dengan saya petang tadi (semalam) sebelum keluar bekerja dan berkongsi rasa teruja menerima gaji esok (hari ini) untuk belanja anak perempuan tunggalnya,” kata Rosnani Seman, 48.

Dia adalah ibu saudara kepada Mohd Noor Mat Jusoh, 39, mangsa kemalangan maut selepas motosikal yang ditunggang dirempuh pacuan empat roda di Kampung Tersang, Jalan Rantau Panjang Lama, Pasir Mas.

Dalam kejadian 7 malam itu, Mohd Noor yang juga pengawal keselamatan Jabatan Pendidikan Kelantan (JPN) Tunjong, Kota Bharu, disahkan meninggal dunia di lokasi.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Kota Bharu.

Rosnani berkata, dia menerima panggilan telefon daripada ahli keluarga yang memberitahu mengenai kemalangan itu sebelum terus bergegas ke Hospital Pasir Mas (HPM).

“Arwah sangat rapat dengan saya kerana rumah kami hanya bersebelahan, malah setiap hari kami akan saling bertanya khabar. Arwah seorang yang peramah dan suka bergurau.

“Sebenarnya dia baru sahaja berpisah dengan bekas isteri tiga bulan lalu, namun hubungan mereka dan anak berusia enam tahun tetap baik. Saya terkilan arwah tidak sempat menunaikan hasratnya untuk memberi wang sejumlah RM400 kepada anak kesayangannya.

“Arwah anak yang sangat baik dan sanggup berhenti kerja sebagai tentera untuk menjaga ibunya, Zaharah Seman, 65 yang tinggal sendirian di Kampung Pangkal Danan, Pohon Buluh, Pasir Mas,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik HPM, Pasir Mas, malam tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohamad Piah, mengesahkan menerima laporan kejadian itu melalui panggilan telefon oleh orang awam pada 7.10 malam.

“Hasil siasatan mendapati Pajero dipandu lelaki berusia 26 tahun dari arah Rantau Panjang ke Jeram Perdah hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh motosikal mangsa.

“Mangs amaut di tempat kejadian manakala pemandu Pajero menerima rawatan di Unit Kecemasan HPM. Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Disiarkan pada: July 30, 2019 @ 9:46am
d