mutakhir

'Saya masih menaruh harapan...'

Oleh Rizanizam Abdul Hamid dan Hasan Omar

“SAYA masih menaruh harapan anak masih hidup,” kata Salamah Sulai, ibu kepada Mohd Afizudin Aidzuhan, 20, pelajar Kolej Vokasional Ranaco, Terengganu yang hilang dipercayai terjatuh ke laut kira-kira dua batu nautika dari Pantai Tanjung Dahan, Kuala Linggi dekat Alor Gajah, kelmarin.

Suri rumah itu tiba bersama enam anaknya di pangkalan sementara operasi gerakan mencari dan menyelamat (SAR) di Pantai Tanjung Dahan, sejak 10.30 malam tadi, bagi mengikuti perkembangan anaknya itu.

Suaminya, Aidzuhan Abd Malek, 50, yang baru selesai menjalani pembedahan jantung dijadual tiba dari rumah mereka di Petaling Jaya, Selangor hari ini bersama seorang lagi anak mereka.

Menurut Salamah, kali terakhir dia berjumpa dengan anak keempatnya itu adalah dua minggu sebelum Aidilfitri lalu dan ketika itu, Mohd Afizudin tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap.

“Cuma adalah beberapa kali selepas mula praktikal pada 18 Februari, dia mengadu mahu menghabiskan praktikal di darat dan bukannya di lautan.

“Waktu itu saya masih tidak faham maksudnya dan memujuknya tidak kisah di mana asalkan dapat menamatkan praktikal yang dijadual pada 18 Ogos ini,” katanya menahan sedih.

Harian Metro semalam melaporkan Mohd Afizudin ketika dipercayai cuba berpindah dari Kapal Bunga MAS 6 milik Akademi Laut Malaysia (ALAM) ke bot tunda Tag Nur Tiga.

Dia yang menjalani latihan praktikal selama enam bulan dengan syarikat Tag Marine Sdn Bhd dilaporkan hilang ketika dipercayai cuba melompat dari kapal berkenaan ke bot tunda itu kira-kira jam 11.50 malam Ahad.

Bagaimanapun, kehilangannya hanya disedari pagi Isnin ketika enam kru bot tunda itu mahu menghadiri perhimpunan pagi.

Susulan itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggerakkan sebuah bot untuk menjalankan operasi SAR dengan dibantu Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di perairan sekitar 25 batu nautika di sekeliling lokasi kejadian.

Operasi SAR yang dijalankan bermula jam 5 petang semalam sebelum dihentikan sementara jam 7.30 malam dan dan disambung semula jam 7.30 pagi ini.

Tag Marine adalah sebuah syarikat operator pelabuhan yang menjalankan pelbagai kerja berkaitan perkhidmatan penghantaran barang dan air kepada kapal yang berlabuh di sekitar perairan Melaka Barat.

Berita berkaitan

Penuntut hilang ketika lompat bot

Disiarkan pada: July 30, 2019 @ 11:56am
d