mutakhir

'Lepas rindu' di hotel bajet

Oleh Zuliaty Zulkiffli

HANYA lepaskan rindu. Itu alasan pasangan kekasih yang ditangkap khalwat di sebuah hotel bajet di Jalan Mergong di Alor Setar, dalam operasi Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), malam tadi.

Ketika pemeriksaan bermula 11 malam, lelaki berusia 23 tahun itu ditemui hanya dalam keadaan bertuala, manakala kekasihnya berusia 20-an lengkap berpakaian.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JAIK, Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, lelaki terbabit mendakwa menyewa bilik berkenaan bagi melepaskan rindu kerana pasangannya akan pulang ke kampung di Baling, meskipun kedua-dua mereka bekerja di tempat sama di Sungai Petani.

Menurutnya, seorang lagi pasangan ditahan di sebuah hotel bajet di Jalan Lencong Barat pada 12.45 tengah malam dan mendapati kedua-dua mereka tiada ikatan sah.

“Wanita berusia 25 tahun dari Langkawi itu mendakwa menginap di hotel berkenaan sejak Sabtu kerana menghadiri kursus berkaitan kerja.

“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan menemui seorang lelaki berusia 23 tahun yang masih belajar bersamanya,” katanya

Katanya, semua mereka ditahan mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Kita dapati operasi ini agak hambar kerana pasangan kekasih mula dikesan menyewa ikut tempoh waktu bagi mengelak dari dicekup pihak berkuasa.

“Ada pasangan kekasih dipercayai menyewa bilik hotel pada waktu siang antara satu jam atau dua jam sebelum keluar dengan kadar bayaran sewa serendah RM50,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa supaya memantau pergerakan anak gadis supaya tidak terjebak dengan kegiatan maksiat.

Disiarkan pada: July 30, 2019 @ 12:14pm
d