mutakhir

Suspek tetak veteran UMNO diburu

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

POLIS memburu dua lelaki terbabit dalam insiden menetak dan mengelar Timbalan Pengerusi Veteran UMNO Kelantan, Datuk Kamaruddin Abdullah, 66, di hadapan kedai makan di Jalan Tengku Chik, di Kota Bharu, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, pihaknya akan mengenal pasti dua lelaki itu menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdekatan lokasi.

Katanya, rakaman CCTV itu diteliti dalam masa terdekat bagi mengenal pasti dua lelaki itu yang menaiki motosikal.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk akan merakam percakapan mangsa untuk mengetahui kejadian itu.

“Kita akan merakam percakapan mangsa selepas beliau pulih memandangkan semalam keadaan mangsa masih lemah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mangsa dipercayai ditetak dan dikelar dengan menggunakan senjata tajam yang belum dikenal pasti.

Menurutnya, kes itu masih dalam siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Media sebelum ini melaporkan, Kamaruddin cedera di kepala, pinggang dan luka di belakang badan serta tangan selepas ditetak dan dikelar dua lelaki yang memakai topi keledar.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, untuk rawatan.

Berita berkaitan

'Bakpo buat aku?'

Veteran UMNO ditetak

Disiarkan pada: July 30, 2019 @ 1:16pm
d