mutakhir

SMAZA cemerlang di Korea

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

SEKOLAH Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAZA) mencatat sejarah tersendiri apabila meraih pingat emas pada World Invention Creativity Olympic Setec, Korea Selatan yang berlangsung pada 24 hingga 27 Julai lalu.

Produk pencuci pelbagai kotoran yang dipanggil Mini-Eazer itu dicipta enam pelajar tingkatan empat sekolah berkenaan.

Enam pelajar terbabit iaitu Muhammad Hafiz Haiqal Zainudin, Ahmad Zafri Mohd Ramli, Nur Anis Farzana Abdul Malik, Zatil Hanna Zuraini, Che Nur Amni Che Rusdi dan Nurul Aisyah Mustafa.

Pencuci yang dicipta menggunakan buah-buahan, tumbuhan dan bahan semula jadi itu diilhamkan guru pembimbing dan penyelidik SMAZA, Saripah Embong dan pengetuanya, Engku Abdullah Engku Dalam Ahmad.

Muhammad Hafiz berkata, penggunaan pencuci pelbagai kotoran ciptaan kumpulannya itu lebih selamat dan mesra alam berbanding penggunaan produk lain yang mengandungi bahan kimia seperti sodium dan sulfat.

“Produk itu dihasilkan daripada belimbing buluh, cecair limau purut dan daun lidah buaya serta menggunakan bahan terbuang seperti sabut kelapa, justeru ia selamat digunakan.

“Kami mengambil masa selama empat bulan untuk menyiapkannya melalui proses tertentu sebelum ia diuji ke atas semua jenis kotoran.

“Bukan saja dakwat kekal pada papan putih, malah pelbagai jenis kotoran kekal dan payah dipadam seperti kesan cat juga mampu dihilangkan menggunakan ciptaan kami ini,” katanya ketika ditemui di majlis menyambut ketibaan Wira SMAZA di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus hari ini.

Hadir sama Engku Abdullah dan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMAZA Abdul Malek Muhamad.

Sementara itu, Ahmad Zafri berkata, ciptaan itu mengandungi asid oxalic yang mampu memadamkan sebarang kotoran dan ia juga anti bakteria.

“Sebagai wakil pencipta yang diberi peluang ke Korea, kami berasa sangat bangga kerana berjaya mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

“Sebanyak 30 negara termasuk China, Amerika Syarikat, Jepun, Kanada dan Korea Selatan yang mengambil bahagian berasa kagum dengan ciptaan kami.

“Kejayaan ini meningkatkan lagi semangat saya dan rakan untuk mencipta lebih banyak produk inovasi bertaraf antarabangsa,” katanya.

Guru pengiring, Saripah pula berkata, pihaknya sudah mendaftarkan produk ciptaan terbabit di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan bercadang untuk memasarkannya secara komersial.

“Kami yakin permintaan terhadap produk seperti itu tinggi dalam kalangan masyarakat kerana ia lebih selamat dan mesra pengguna,” katanya.

Menurutnya, selain produk pemadam itu, SMAZA juga pernah memenangi tiga anugerah emas dan satu anugerah khas bagi produk menghalau lipas di 43rd International Invention Show di Zagreb, Croatia pada 14 hingga 17 November tahun lalu.

Disiarkan pada: July 30, 2019 @ 4:54pm
d