mutakhir

Padah bela burung daun

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

SIFATNYA yang cantik dan hanya sekali-sekala berbunyi antara faktor burung daun diburu seorang lelaki di pinggir hutan Kampung Sungai Telur dekat Kota Tinggi, semalam.

Malah berusia 54 tahun itu turut menjalankan aktiviti menjerat ayam hutan dan menyimpan unggas itu di rumahnya di Kampung Kangkar Tebrau.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor, Salman Saaban berkata, bertindak atas maklumat sepasukan anggota dan pegawai PERHILITAN menahan lelaki berkenaan kira-kira jam 1 tengah hari semalam.

“Pemeriksaan menemui seekor burung disyaki burung daun. Kita turut menyita empat unit jaring burung dan dua unit jebak.

“Burung daun ini dipercayai untuk peliharaan lelaki berkenaan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Susulan penahanan itu, pemeriksaan ke rumah lelaki itu membawa kepada penemuan 14 ayam hutan.

“Turut ditemui di rumah lelaki itu ialah seekor burung serindit. Semua unggas ini disimpan di belakang rumahnya,” katanya.

Hasil siasatan awal, katanya, ayam hutan dalam milikan lelaki itu dipercayai digunakan untuk pertandingan bunyi kokok dan lelaki berkenaan turut memiliki denak ayam hutan untuk memikat ayam liar lain.

“Jika untuk dijual, harga ayam hutan ini mencecah antara RM150 hingga RM500 seekor berdasarkan kemerduan suara.

“Faktor lain mempengaruhi harga ayam hutan ialah kecantikan yang dilihat berdasarkan ciri-ciri fizikal seperti balung tegak, lawi panjang, aktif, galak berlawan jika diacah, jinak serta postur badan sedikit tegak,” katanya.

Beliau berkata, semua rampasan dibawa ke pejabat PERHILITAN Bandar Penawar untuk penempatan sementara sebelum diambil tindakan seterusnya.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 kerana memburu atau menyimpan hidupan liar iaitu ayam hutan dan burung serindit, manakala Seksyen 68 akta sama kerana memburu dan menyimpan burung daun.

Disiarkan pada: July 30, 2019 @ 5:23pm
d