mutakhir

Keluarga reda kehilangan Afizudin [METROTV]

Oleh Hassan Omar

“KAMI reda dengan pemergian Mohd Afizudin Aidzuhan dan Alhamdulillah, jenazahnya dijumpai hari ini.

“Kami ucapkan ribuan terima kasih kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang bertungkus-lumus mencari arwah sejak petang semalam,” kata Aidzuhan Abdul Malek, 50.

Bapa kepada Allahyarham Mohd Afizuddin iaitu penuntut Kolej Vokasional Ranaco, Chukai, Terengganu itu berkata demikian sejurus selepas mayat mangsa dibawa naik ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Kuala Linggi, dekat Alor Gajah, hari ini.

Aidzuhan yang dalam keadaan lemah kerana baharu saja menjalani rawatan jantung di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) tiba di RTC berkenaan tengah hari ini dan terus meminta isteri, Salmah Sulai, 47, dan tujuh anaknya supaya bersabar serta reda dengan pemergian arwah.

Aidzuhan yang bertugas di syarikat swasta di Petaling Jaya dan anggota keluarganya yang tinggal di Damansara hadir di RTC berkenaan selepas dimaklumkan mengenai kehilangan Mohd Afizuddin ketika menjalani latihan praktikal di atas kapal Bunga MAS 6 milik MISC yang berlabuh kira-kira dua batu nautika dari pantai Kampung Tanjung Dahan, Kuala Linggi pada 11.50 malam Ahad lalu.

Dalam kejadian itu, mangsa bersama enam kru bot tunda Tag Nur Tiga bertugas menjaga kapal Bunga MAS 6 yang digunakan MISC untuk kelas pengajian dan latihan penuntut Akademi Laut Malaysia (ALAM) di Kuala Linggi.

Mangsa dipercayai terjatuh ke laut ketika melangkah dari kapal berkenaan ke bot tunda itu yang ditambat rapat dengan kapal berkenaan.

Mayat mangsa dijumpai kira-kira 3.9 batu nautika di barat laut lokasi kejadian pada 12.45 tengah hari ini.

Mayat arwah dijumpai nelayan, Saiful Kamaruddin, 30, yang membantu SAR berkenaan sebelum menghubungi pasukan keselamatan.

Berita berkaitan

'Saya masih menaruh harapan...'

'Penuntut hilang ketika lompat bot'

Disiarkan pada: July 30, 2019 @ 6:08pm
d